0

 

 

Batik sememangnya khazanah seni warisan yang punya nilai yang cukup tinggi. Sayangnya, bukan semua daripada kita mampu menghargai keindahannya.

MLP News baru-baru ini berkesempatan bertemu Emilia Tan, pemilik galeri myBatik yang bertempat di Yayasan Seni, Kuala Lumpur. Biarpun berketurunan Cina, cinta Emilia kepada batik sangat tinggi dan ini diterjemahkan dengan kewujudan galeri yang sudah beroperasi selama tiga tahun ini.

Cinta Emilia pada batik bermula ketika beliau masih bergelar pelajar, seterusnya menguatkan tekad beliau menjadi pengusaha dan pengeluar batik.

“Saya ke Terengganu dan melihat sendiri bagaimana batik dibuat. Ia sangat menarik dan saya melihat hasilnya begitu cantik sekali,” kata Emilia mengimbas kisah ‘perkenalan’nya dengan batik.

Emilia kemudiannya mengambil keputusan untuk mendalami kesenian batik di Malaysia Institute of Arts. Pengetahuan yang ditimba di sana, digunakan sebaik mungkin dalam menyebar dan mempromosikan batik kepada masyarakat Malaysia dan luar.

Bagi Emilia, batik bukan sekadar satu seni tetapi lebih dari itu, ia merupakan satu ‘lifestyle’ atau cara hidup untuk masyarakat Malaysia. Emilia bagaimanapun agak terkilan kerana tahap pengetahuan masyarakat Malaysia terhadap batik masih rendah.

“Kebanyakan batik yang dijual di pasaran hari ini, bukan batik yang tulen. Ramai yang tidak sedar batik yang mereka pakai adalah batik saduran,” jelas Emilia.

Justeru, kata Emilia, adalah penting untuk masyarakat mengenali batik agar penghargaan itu boleh datang secara sendiri. Cara paling mudah adalah membeli batik dari pengeluar yang bertauliah dan sah.

“Kalau anda ke kedai, melihat sendiri bagaimana batik dilukis dan kemudian membelinya, ia lebih bernilai,” kata Emilia.

Sewajarnya usaha Emilia ini dipuji. Jika bukan kita sendiri sebagai rakyat Malaysia menghargainya, siapa lagi?

Comments are closed.